microsoft-windows-vista-box.jpg

MICROSOFT Malaysia akan melancarkan secara rasmi sistem operasi (OS) terkininya, Windows Vista, pada 31 Januari untuk korporat manakala bagi pengguna awam, pada 3 dan 4 Februari ini.

Microsoft Corp di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mengatakan bahawa versi terkini Windows itu boleh didapati di seluruh dunia pada 30 Januari.

Sumber Microsoft Malaysia berkata, pelancaran untuk korporat akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), manakala bagi pengguna akan dilakukan di Low Yatt Plaza Bukit Bintang.

Bagaimanapun, maklumat terperinci mengenai harga produk itu tidak dapat disediakan.

Menurut Microsoft, Windows Vista dikatakan tersedia dengan ciri termaju yang dipertingkatkan, mengatasi keupayaan OS sebelum ini iaitu Windows XP, walaupun hebat tetapi mempunyai kelemahannya tersendiri.

Empat versi disediakan kepada pengguna awam iaitu Home Basic, Home Premium, Business dan Ultimate.

Untuk pertama kalinya, Microsoft merancang untuk menjadikan OS Windows Vista dan juga suite produktiviti Office 2007 boleh dimuat turunkan oleh pengguna PC melalui Internet pada 30 Januari ini.

Tarikh itu juga adalah hari syarikat perisian utama dunia itu memperkenalkan ke pasaran runcit serta pengeluar komputer.

Sempena pelancaran OS baru itu, Microsoft turut merancang menawarkan dua cara untuk pengguna mempertingkatkan OS lama ke Windows Vista pada akhir bulan ini.

Syarikat itu akan memperkenalkan program “Windows Anytime Upgrade” yang membolehkan pengguna yang sudah membeli Vista untuk membeli versi OS itu yang lebih mahal secara klik butang pada menu Start Vista.