kastam.JPG

Lebih 100 kereta mewah membabitkan pelbagai model terbaru yang dirampas Kastam Diraja Malaysia (KDRM) kerana pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu akan dilelong sempena Sambutan Hari Kastam ke-25, Jumaat ini.

Pembida tertinggi berpeluang memiliki kereta mewah antaranya Mercedes-Benz, BMW, Honda, Toyota dan Nissan yang akan dipamerkan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya, Selangor.

Sebahagian besar kereta yang sudah dilucut hak oleh kastam itu dirampas di bilik pameran dan membabitkan kesalahan seperti tidak memiliki permit import (AP) atau AP klon.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata pembida yang berminat hanya perlu menyediakan bank draf sebanyak 10 peratus daripada harga tawaran kereta terbabit.

“Kebanyakan kereta mewah yang dipamerkan untuk dilelong berkeadaan baik dan belum didaftarkan di jalan raya kerana ia membabitkan rampasan kereta import yang dipamerkan di bilik pameran dan sudah dilucut hak oleh kastam.

“Setiap kenderaan boleh dihidupkan enjin oleh pembida sendiri dan orang ramai boleh tengok serta terus masuk tender jika berminat,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Beliau berkata, pada hari lelongan itu, wakil bank dan institusi kewangan akan menyediakan kemudahan pinjaman pembiayaan bagi kemudahan orang ramai.

Selain acara lelong kereta mewah, KDRM mengadakan pameran pembangunan kastam dari aspek pelaksanaan ICTR iaitu Integriti, Core Business (perniagaan teras), Teknologi dan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sempena sambutan Hari Kastam itu juga, KDRM buat pertama kali mempamerkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria yang sudah diubah suai sebagai pejabat bergerak KDRM dikenali sebagai kenderaan ‘Alfatax’.

“Alfatax dilengkapi sistem perhubungan elektronik menggunakan teknologi satelit yang antara lain mampu memproses data, menghantar imej, memproses lesen, mengecam kod serta melakukan pelbagai tugas lain membabitkan kastam secara bergerak,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan 21 kenderaan pintar Alfatax untuk digunakan dalam operasinya manakala kos mengubah suai sebuah kenderaan terbabit dianggarkan RM100,000.

Setiap kenderaan itu akan diserahkan selepas majlis pelancarannya, Jumaat ini.

Mengenai hari kastam itu yang bertemakan ‘Sepakat Ke Arah Kecemerlangan’, katanya, ia akan diadakan di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan di Kelana Jaya, Selangor dan dijangka dirasmikan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Sambutan tahun ini diadakan amat sederhana, malah dianjurkan di kawasan perumahan kastam kerana mahu menjimatkan kos.

“Kita akan menggunakan semua kemudahan yang ada di kompleks itu seperti majlis tahlil akan dilakukan di surau, jamuan makan malam di dewan dan upacara perbarisan di datarannya,” katanya.

KDRM hanya mengeluarkan peruntukan untuk menyewa khemah bagi sambutan itu.

Selain itu, bagi meningkatkan usaha menangani sindiket penyeludupan, KDRM sudah menempah kenderaan baru peronda untuk kegunaan Pasukan Gerak Cepat (PGC) membabitkan 20 kereta Volvo S70.

Abdul Rahman berkata, anggota PGC juga akan dilengkapi peralatan lain seperti senjata api, walkie-talkie dan gari bagi memastikan anggotanya sentiasa bersiap sedia menghadapi kejadian di luar dugaan.

Mengenai sambutan Hari Kastam Sedunia ke-25 yang bertemakan ‘Sepakat Kearah Kecemerlangan’ itu, pihaknya tidak bercadang mengadakan lelongan awam membabitkan barangan rampasan seperti telefon bimbit, beras, basikal atau gula seperti yang dilakukan pada tahun lalu.

Info http://www.hmetro.com.my