bg-new2.JPG

PAMERAN Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang sepatutnya berakhir 14 Januari lalu telah dilanjutkan sebulan lagi hingga 14 Februari depan.

Menurut jurucakap Kementerian Sains, Teknologi dan  Inovasi (MOSTI), sambutan luar biasa pada pameran yang sepatutnya berakhir 14 Januari lalu menunjukkan masih ramai pengunjung di luar yang belum berpeluang mengunjunginya.

Menteri Sains Teknologi dan inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang prihatin dengan permintaan orang ramai supaya pameran itu dilanjutkan di lokasi yang sama.

“Oleh itu orang ramai tidak perlu terburu-buru kerana mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mengatur lawatan mereka,” katanya.

Pameran itu sepatutnya berlangsung selama seminggu dari 8 hingga 14 Januari di KLCC sebelum berpindah ke Pusat Sains Negara (PSN).

Selepas PSN, ia akan dibawa ke beberapa lokasi lain di seluruh negara untuk membolehkan rakyat menghayati kegemilangan Islam pada masa dahulu.

Pameran tersebut menampilkan 148 model dan  replika reka cipta dalam bidang sains dan teknologi oleh ilmuan Islam dan telah mencatat kunjungan sebanyak 10,000 orang pada hari pertama pembukaannya.

Dr. Jamaluddin memberitahu, dalam tempoh tiga hari pameran itu diadakan ia telah dikunjungi 27,000 pengunjung.