web_bottom1.JPG

SESI ujian rasmi pasukan Formula Satu yang julung kalinya diadakan di Litar Sepang dari 27-29 Mac akan dibuka kepada orang ramai secara percuma, kata Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) Datuk Mokhzani Tun Mahathir, semalam.

Langkah itu, kata Mokhzani adalah sebahagian usaha SIC untuk membawa peminat ke litar dan juga sebagai satu lagi inisiatif oleh penganjur perlumbaan F1 untuk mempromosikan Formula Satu di kalangan rakyat Malaysia.

“Peminat Formula Satu boleh datang dan menyaksikan sesi itu yang dianjurkan buat pertama kalinya di Malaysia,” katanya.

Kejohanan Formula Satu Dunia 2007 akan membuka tirai di Melbourne pada 18 Mac dengan semua kereta dan peralatan perlumbaan dihantar terus ke Litar Sepang selepas perlumbaan itu bagi sesi ujian selama tiga hari, yang diadakan seminggu sebelum Grand Prix Malaysia.

Mokhzani berkata sesi ujian itu diadakan untuk memberi peluang kepada pasukan-pasukan untuk mengisi ruang masa tiga minggu antara perlumbaan pembukaan di Melbourne dan Sepang (6-8 April), untuk tujuan ujian.

“Kami berharap sesi ini akan menjadi acara tahunan di Sepang tetapi ia akan bergantung pada kalendar perlumbaan. Bagi pihak kami, kami ingin ia menjadi acara tahunan,” kata Mokhzani.

Beliau berkata sesi ujian itu akan memberi banyak faedah kepada Sepang dan Malaysia secara keseluruhannya, sambil menambah dengan kemasukan sesi Ujian Pasukan F1, pasukan Formula Satu kini menyertai MotoGP dan Japan Super GT dalam memperakui Sepang sebagai litar rasmi ujian mereka.

“Ia sesuatu yang penting bagi SIC dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat aktiviti permotoran bertaraf dunia di rantau ini.

“Ia juga merupakan pengiktirafan kepada keupayaan Malaysia dan SIC dalam penganjuran acara permotoran bertaraf dunia. Ujian F1 dianggap acara berprestij dalam kalendar perlumbaan permotoran antarabangsa,” kata Mokhzani.

Sementara itu, pasukan MotoGP akan menjalani sesi pertama daripada tiga ujian rasmi di Sepang pada 22-24 Januari sebelum berlepas ke Phillip Island di Australia bagi ujian selanjutnya dan kembali ke Malaysia bagi ujian kedua dari 5-7 Februari.

Malaysia akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Grand Prix Motosikal FIM Dunia 2007 di Litar Sepang dari 19-21 Oktober.

Info: http://www.hmetro.com.my