PAMERAN KEGEMILANGAN SAINS DALAM TAMADUN ISLAM

islam1.jpg

Usaha mengetengahkan semula kegemilangan ilmuwan Islam  dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengambil inisiatif mengadakan Pameran Kecemerlangan Sains dan Tamadun Islam bertemakan Sains Islam Mendahului Zaman di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 8 hingga 14 Januari ini yang menampilkan 148 artifak dan hasil penemuan sains cendekiawan Islam. Kandungan utama pameran ini merupakan 148 bahan pameran yang terdiri dari replika, model, working model, poster yang merupakan koleksi hasil ciptaan ilmuan Islam silam dan manuskrip-manuskrip saintifik dalam pelbagai bidang sains. 

Pameran yang julung kali diadakan ini bermatlamat mencetuskan kembali kesedaran terhadap kepentingan mengkaji dan menerokai ilmu sains dan teknologi seterusnya membangkitkan semangat generasi muda untuk meneruskan kesinambungan ilmuwan Islam.

Pameran ini akan diadakan selama tiga (3) bulan bermula di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 8 Jan – 14 Jan 2007. Pameran ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 8 Jan 2007 jam 11.00 pagi di  KLCC.  Selepas pameran di KLCC ianya akan dibawa ke Pusat Sains Negara (PSN).  Pameran di PSN akan diadakan dari 23 Jan – 31 Mac 2007. Selain pameran, aktiviti lain yang turut dirancang ialah penganjuran Simposium Antarabangsa bertajuk “International Symposium On Islamic Science Technology as Heritage of Mankind” pada bulan Mei/Jun 2007.   Mengambil kesempatan penganjuran pameran dan seminar ini, pihak MOSTI juga bercadang untuk mewujudkan “Kerusi” atau “Prof. Fuat Sezgin Chair” di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Usaha ini diambil bagi mengenang jasa dan  sumbangan Prof. Fuat Sezgin, Pengarah/Pengasas Institute for the History of Arabic-Islamic Science, at the Johann Wolfgang Goethe University, Frankfurt, Germany yang tidak ternilai dalam memartabatkan warisan ilmuan sains Islam. 

Objektif utama pameran dan simposium antarabangsa ini adalah untuk:

  1.  
    1. Meningkatkan kesedaran masyarakat akan pentingnya penguasaan ilmu pengetahuan sains dan teknologi bagi kemajuan dan kecemerlangan negara;
    2. Menyuntik semangat dan galakan kepada masyarakat umum khususnya rakat Malaysia untuk meminati dan menerokai bidang sains dan teknologi dan melahirkan modal insan yang produktif;
    3. Menyediakan forum bagi ilmuan-ilmuan sains dari seluruh dunia mempelajari serta bertukar maklumat terkini dan mewujudkan jaringan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

Kandungan pameran ini dibahagikan kepada empat bahagian utama seperti berikut:-

  1. The World of Islamic Astronomy, Geography & Navigation
  2. Medical Inventions & Discovery
  3.  Mathematic, Arts & Architecture
  4. Technology & Inventions

     
Faedah Penganjuran Pameran Dan Simposium Antarabangsa

Adalah penting bagi Kerajaan berusaha mengubah dan menukar minda serta pandangan masyarakat Islam supaya memberi tumpuan yang sama kepada Ilmu Wahyu dan Ilmu Akal, kerana kedua-duanya amat dituntut oleh Agama Islam. Usaha ini adalah selaras dengan matlamat dan tujuan Islam Hadhari, khususnya yang berhubung dengan prinsip keempat iaitu penguasaan  ilmu pengetahuan dan dasar dan strategi Kerajaan seperti mana yang diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri  dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).   Tanpa penguasaan ilmu ini, keupayaan negara untuk bergerak pantas memasuki Ekonomi Ketiga dan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan akan terbantut.

Penganjuran pameran dan simposium antarabangsa ini adalah bertepatan dengan ketika di mana dunia Islam kini sedang menghadapi zaman kemerosotan penguasaan ilmu sains dan teknologi.  Ini merupakan satu perkara yang tidak seharusnya berlaku kerana ilmuan Islam pada satu ketika dahulu pernah menjadi peneraju semua cabang ilmu pengetahuan sebelum ia dibangunkan oleh Barat. Malaysia selaku Pengerusi OIC, boleh memainkan peranan dalam mengembalikan kesedaran kegemilangan sains Islam serta kepentingan sains dan teknologi dalam pembangunan negara melalui pameran dan simposium antarabangsa ini. 

Melalui penganjuran pameran dan simposium antarabangsa ini  adalah diharapkan persepsi masyarakat yang mengatakan bahawa pencarian ilmu dunia  itu tidak penting dapat diubah.  Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 201 yang selalu dibaca sebagai doa iaitu “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksaan neraka” menegaskan kepada manusia akan kepentingan mencari kebaikan dunia dan akhirat.  Di samping itu, hadith Rasullulah juga ada menyebut “Barang siapa menginginkan dunia ia harus berilmu, barang siapa menginginkan akhirat ia harus berilmu dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya maka ia harus berilmu”.  Baginda Rasullulah turut bersabda “Tuntutlah ilmu hingga ke Negeri China” dan “Menuntut ilmu adalah wajib atas tiap-tiap muslim”.

Penganjuran pameran dan simposium antarabangsa ini diharap dapat meningkatkan kesedaran, mengubah persepsi dan mindset, mendidik, menambah pengetahuan serta memotivasikan masyarakat khususnya rakyat Malaysia untuk menguasai ilmu pengetahuan  dalam bidang sains dan teknologi dan melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan produktif dalam memacu negara mencapai taraf negara membangun menjelang tahun 2020.