Penyanyi dan pelakon terkenal, Erra Fazira hari ini menggesa orang ramai agar memboikot rokok tiruan menggunakan namanya yang dikatakan semakin berleluasa di pasaran terutama di kawasan luar bandar sejak akhir-akhir ini.Beliau yang terkejut dengan pendedahan Kastam Diraja Malaysia dalam Utusan Malaysia semalam bagaimanapun mengakui belum pernah melihat rokok berkenaan.

‘‘Saya sangat kesal kerana nama saya digunakan dalam produk yang merosakkan kesihatan. Saya mahu orang ramai terutama peminat saya menjauhi tabiat merokok apatah lagi membeli rokok tiruan itu.

‘‘Apa yang pasti saya tidak pernah terbabit dalam kegiatan tersebut dan berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa jika mengetahui mengenai kewujudan rokok itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam kastam mendedahkan mereka mengesan kewujudan rokok tiruan yang menggunakan nama artis terkenal ‘Erra Fazira’ di pasaran sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Abd. Rahman Abd. Hamid berkata, rokok terbabit dijual antara RM3 dan RM4 sekotak iaitu jauh lebih murah berbanding harga rokok biasa di pasaran.

Tambah beliau, kawasan pedalaman dan penempatan Felda adalah antara kawasan yang menjadi buruan pembekal rokok terbabit kerana terdapat permintaan tinggi.

Katanya, rokok tiruan terbabit menembusi pasaran tempatan dari negara jiran melalui Sabah dan Sarawak hingga membuatkannya sukar untuk dikesan pihak berkuasa.

Ketika diminta mengulas lanjut, Erra Fazira berkata, beliau sebenarnya sudah ‘lali’ dengan tabiat peniaga yang menggunakan namanya untuk melariskan produk mereka terutama makanan dan pakaian.

‘‘Saya difahamkan ada yang jual ‘Kain Erra Fazira’, ‘Tudung Erra Fazira’ dan sebagainya, tetapi saya masih boleh bersikap rasional kerana mungkin itu strategi perniagaan masing-masing.

‘‘Tetapi kalau dah melibatkan benda berbahaya pada kesihatan, itu sudah melampau,’’ tambahnya.