logospr.JPG

Sebuah badan bebas pemantau pilihan raya meramalkan Malaysia akan mengadakan pilihan raya umum ke-12 pada November depan.

Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) yang menjalankan kajian ke atas pilihan raya terdahulu sejak awal 1980-an percaya kerajaan akan memilih tarikh berkenaan kerana ia paling sesuai memandangkan pada masa itu cuti sekolah.

Pengerusinya, Abdul Malek Hussin berkata, sejak dulu pilihan raya umum Malaysia sering dijalankan ketika cuti sekolah kerana premis berkenaan digunakan sebagai pusat mengundi.

‘‘Tarikh itu dipilih berdasarkan beberapa faktor yang tidak berubah setiap kali pilihan raya diadakan iaitu ia dibuat pada hari Sabtu musim cuti sekolah.

Ramalan

‘‘Kami juga meramalkan tarikh pilihan raya Sarawak baru-baru ini dan ramalan kami hampir-hampir tepat,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai laporan pemantauan pilihan raya Sarawak kesembilan di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa faktor lain seperti iklim politik semasa, ekonomi dan persekitaran turut diambil kira dalam merencanakan sesuatu pilihan raya.

Katanya, MAFREL perlu membuat persediaan awal dalam menghadapi pilihan raya dengan memfokuskan kepada latihan dan kerahan kira-kira 5,000 pemerhati yang akan ditempatkan di seluruh negara.

‘‘Kami akan hantar pemerhati pilihan raya yang dilatih secara intensif terdiri daripada para sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan,’’ katanya. Utusan Malaysia.