20boy1.jpg20girl.jpg 

Tiada satu pun negara di dunia termasuk negara maju boleh menjanjikan 100 peratus peluang pekerjaan kepada graduan lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah di Indonesia, kerajaannya lebih menggalakkan graduan lepasan universitinya mencari pekerjaan sendiri atau menceburi bidang perniagaan sehinggakan dana khas perniagaan untuk graduan disalurkan kepada bank tempatan habis peruntukannya dalam sekelip mata.

Di negara kita, graduan masih mengharapkan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Puncanya kerana graduan IPT kita terlalu dimanjakan dan kebanyakannya dirasuk faktor kebendaan seawal usia ketika dalam pengajian lagi.

Sudahlah pengajian mereka sentiasa dititik beratkan oleh kerajaan dengan lambakan kemudahan, bantuan dan sokongan, inikan pula selepas tamat pengajian, mereka masih berharap kerajaan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Malah, ada golongan menyalahkan kerajaan apabila berlaku lambakan graduan menganggur di pasaran. Apakah kita hidup di Malaysia ini asyik hendak mengharapkan kerajaan dalam segala segi?

Akibat terlalu ditatang bagai minyak penuh, graduan masa kini tidak mempunyai daya tahan dan daya saing tinggi. Semangat juang untuk hidup bergelar graduan dianggap terlalu tinggi dan eksklusif. Mentaliti sakit inilah merosakkan nilai graduan IPT di pasaran kerja tempatan.

Apakah tujuan sebenar mereka melanjutkan pelajaran ke menara gading? Apakah mereka sudah mengabaikan tuntutan menuntut ilmu untuk menjadi insan berguna dan berfikiran terpelajar mesti berakhir dengan bekerja dengan bergaji besar?

Apakah dengan segulung diploma dan ijazah itu bermakna mereka secara automatiknya menjadi warga ‘permata’ kepada negara?

Saya yakin ramai graduan IPT pada 70-an dan 80-an bersetuju dengan pendapat saya bahawa kita dulu lebih terbuka dengan sikap boleh berdikari dan tidak terlalu memilih kerja dan gaji ditawarkan. Malah, ketika kegawatan ekonomi pada pertengahan 80-an, saya dan rakan lain tidak mengeluh kerana bekerja di bidang berlainan dengan apa diperolehi dan tidak merungut apabila dibayar dengan gaji kecil.

Ketika itu Skim Khas Siswazah (SKS) diperkenalkan beberapa agensi kerajaan dan pihak swasta. Saya sendiri ditawarkan jawatan pegawai SKS, tetapi bergaji kerani. Ada rakan saya berkelulusan jurutera elektrik ditawarkan sebagai eksekutif di kilang syarikat milik kerajaan (GLC), tetapi tugasnya ialah sebagai ‘line leader’.

Malah ramai rakan saya berniaga kecil-kecilan seperti membuka warung burger dan menjual baju terpakai (bundle) di kampung masing-masing. Malah, pengilang dan pengeluar burger terkenal di negara masa kini berjaya dalam perniagaannya hasil menjual burger selepas tamat pengajian walaupun mempunyai ijazah farmasi.

Ketika itu berlaku kegawatan ekonomi di seluruh dunia. Dengan ketahanan diri dan boleh berdikari, di samping pernah berasa susah senang untuk hidup ketika di IPT, kami boleh menghabiskan pengajian tepat pada waktunya tanpa melanjutkan semester. Tanpa biasiswa dan pinjaman pelajaran, kami masih boleh belajar bersungguh-sungguh dengan persekitaran dan peralatan serba kekurangan.

Apakah graduan sekarang sanggup menempuh gelodak kerjaya dengan dibayar upah rendah berbanding kelulusan? Sanggupkah mereka menerima kenyataan realiti kehidupan bahawa setinggi mana pun kelulusan belum tentu menjamin pendapatan setimpal?

Kebanyakan graduan lepasan IPT sekarang hanya boleh berbangga dengan sekeping diploma atau ijazah, tetapi masih mundur ilmu. Pengajian diperoleh daripada IPT seolah-olah tidak berguna langsung. Mentaliti mereka ialah apabila tamat pengajian, mereka bermimpikan gaji lumayan dan kesenangan dan kemewahan bakal kecapi.

Ramai graduan menganggur takut memasuki pasaran kerja swasta kerana mereka tahu kelemahan diri. Kelemahan utama ialah sangat lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris. Sudah terlambat sebenarnya untuk memperbaiki diri kerana peluang yang ada untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di IPT tidak dimanfaat sepenuhnya.

Oleh itu, mereka masih bergantung harap kepada kerajaan menyediakan peluang pekerjaan. Ramai graduan menganggur takut memasuki pasaran kerja swasta kerana mereka tahu kelemahan diri.

Malah, ada mahasiswa menyindir rakan yang berbahasa Inggeris dan menjawab soalan peperiksaan dalam bahasa Inggeris kerana kononnya tidak patriotik. Sekarang ini mereka perlu menjawab kepada diri sendiri yang masih tidak ‘berkelayakan’ untuk bekerja setaraf dengan kelulusan mereka.

Sikap boros dan mementingkan kebendaan ketika masih bergelar siswazah lagi turut menyumbang. ‘Kemewahan’ ketika di IPT sebenarnya ‘membunuh’ diri mereka sendiri. Dengan biasiswa dan pinjaman pelajaran yang kebanyakannya disalah guna, menyebabkan mereka apabila keluar dari IPT menjangkakan hidup bermewah ketika belajar dapat diteruskan ketika dalam alam pekerjaan.

Graduan sekarang juga takut untuk berniaga kerana malu dan segan. Malah, ada beranggapan bukan taraf untuk berniaga. Ada siswazah lulusan pertanian masih berharap untuk makan gaji sedangkan keupayaan dan kapasiti mereka sudah cukup untuk menjadi petani moden dengan pinjaman bank yang disediakan.

Mereka masih tidak mahu mengaku hakikat mereka bukannya hebat dengan segulung diploma dan ijazah. Tanpa pengalaman bekerja jangan bermimpi indah untuk mendapatkan ganjaran gaji lumayan.

Graduan perlulah mengukur baju di badan sendiri dan mengaku hakikat setakat mana sebenarnya kebolehan mereka. Tanpa kemahiran dan pengetahuan selain daripada apa dipelajari, jangan harap mereka dengan mudah boleh diterima bekerja sama ada dalam kerajaan mahupun swasta.

Saingan hebat masa kini di pasaran buruh sudah tentunya mendatangkan masalah besar kepada graduan menganggur terutama graduan Melayu. Mereka tidak serius menyediakan diri memasuki alam pekerjaan. Malah sikap malas menilai diri sendiri dan menambah baik prestasi diri mengakibatkan mereka menemui kegagalan setiap kali menghadiri temu duga.

Zaman penuh pancaroba dan perlumbaan untuk berjaya dalam hidup sebenarnya tiada tempat untuk graduan malas. Sepatutnya ketika ada masa terluang sementara mendapat pekerjaan, mereka harus melengkapkan ‘resume’ dengan selengkap mungkin, banyakkan membaca untuk menambah ilmu pengetahuan dan cuba berinteraksi dengan sesiapa saja. Tujuannya untuk mendapatkan keyakinan diri dan tidak takut menghadapi temu duga.

Sikap primitif dan lapuk selepas tamat pengajian IPT, graduan bekerja dengan gaji empat angka sepatutnya sudah lama dihakiskan dalam pemikiran masyarakat. Juga sesiapa bergelar graduan akan cerah masa depannya perlu ditepis sama sekali.

Mungkin tiba masanya graduan menganggur di negara kita bekerja dengan jawatan rendah dan gaji kecil dulu dengan tujuan menimba pengalaman. Tiada salah dan dosanya jika graduan pemasaran bekerja sebagai jurujual, graduan kejuruteraan awam bekerja sebagai penyelia tapak, graduan perubatan bekerja sebagai pembantu klinik dan graduan akauntan bekerja sebagai kerani akaun.

Paling elok graduan menganggur berpadu tenaga bersama rakan sepengajian untuk menubuhkan syarikat dan menjalankan perniagaan. Modal tidak menjadi masalah sebenarnya kerana banyak bank dan agensi kerajaan boleh membantu jika mereka berusaha dan teliti untuk memajukan diri dan masa depan.

Carilah pengalaman sebanyak mungkin dan di mana saja. Keadaan sekarang inilah sebenarnya menguji kesabaran dan kematangan seseorang graduan bergelar penganggur. Tabahkan hati dan bertawakal kepada Allah. Berkat usaha keras pasti ada ganjarannya. Selamat menempuh alam pekerjaan.